Fokus baharu PAC 2025: MPOB tegaskan komitmen tangani dimensi ekonomi & sosial industri sawit
BANDAR BARU BANGI, 21 April 2025 – Sebagai langkah memperkukuh agenda penyelidikan industri sawit negara, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mempergiatkan bidang fokus penyelidikan Tekno dan Sosio-Ekonomi (TSE) yang memperkenalkan bidang fokus baharu Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2025.
Mesyuarat PAC MPOB 2025 yang melibatkan pihak dari industri sawit dan insitusi penyelidikan dari dalam dan luar negara yang berlangsung selama empat hari di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi bermula hari ini.
Setiap tahun PAC akan meneliti projek-projek R&D dan isu semasa industri sawit Malaysia bagi memastikan aktiviti penyelidikan dan pembangunan selari dengan keperluan semasa serta memenuhi kehendak industri bagi merapatkan jurang dalam menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri.
“Penambahan bidang fokus baharu (TSE) mencerminkan komitmen MPOB bagi menangani ruang lingkup ekonomi dan sosial industri sawit secara lebih meluas serta melengkapi penyelidikan teknikal dan saintifik yang sedia ada,” kata pengerusinya, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha semasa majlis pembukaan Mesyuarat PAC 2025.
Perkembangan ekonomi dan pengumuman kadar tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan dinamik ekonomi global yang mudah berubah atas pengaruh kuasa besar ekonomi dunia.
“Pihak Kerajaan terus komited mempertahankan kepentingan industri sawit negara terutamanya daripada sekatan perdagangan dari luar,” tambahnya.
Mesyuarat PAC dijalankan secara tahunan dan berlangsung selama empat hari membincangkan hala tuju, kepentingan, serta impak aktiviti R&D MPOB di bawah enam bidang fokus utama termasuk – Prestasi Hasil, Mitigasi dan Adaptasi Perubahan Iklim; Pengilangan, Pemprosesan dan Mekanisasi; Keselamatan Makanan dan Pemakanan; Nilai Tambah; serta bidang fokus baharu iaitu Tekno dan Sosio-Ekonomi.
Menurut Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, MPOB akan terus memastikan fokus pembangunan dan penyelidikan di bawah agensi penyelidikan tersebut sentiasa dinamik seiring dengan arus perkembangan global.
“Penambahbaikan bidang fokus penyelidikan sedia ada, serta penambahan bidang fokus baharu mencerminkan evolusi agensi yang dinamik serta dedikasi para penyelidik untuk terus memajukan industri sawit negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Ahli PAC terdiri daripada kalangan penggiat industri, golongan akademia, serta pakar dalam pelbagai bidang dari dalam luar negara.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)