Industri sawit Malaysia pacu ekonomi hijau
KUALA LUMPUR, 14 Januari 2025 – Malaysia akan terus memacu kesejahteraan industri sawit dengan pendekatan ekonomi hijau serta inovasi teknologi terkini dalam rantaian pengeluaran.
“Penekanan terhadap inisiatif ekonomi hijau memberi peluang kepada industri kita untuk memperkukuh usaha kemampanan serta kekal berdaya saing di peringkat global,” kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi dalam ucapan beliau di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2025
(R&O 2025) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menurutnya, penerapan inisiatif ekonomi hijau bukan sahaja meningkatkan aspek pemeliharaan alam sekitar, malah turut membuka peluang baharu untuk pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi.
Prestasi eksport industri mencatatkan jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit dari Januari hingga Disember 2024 telah meningkat kepada 26.66 juta tan berbanding 24.49 juta tan pada tempoh yang sama pada tahun 2023. Ini merupakan peningkatan sebanyak 8.9% dengan perbezaan sebanyak 2.17 juta tan antara kedua-dua tahun tersebut.
Dalam pada itu, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata tema Seminar R&O 2025, ‘Memperkukuh Daya Saing Minyak Sawit melalui Inisiatif Ekonomi Hijau’ memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan global industri sawit dengan mengintegrasikan elemen kemampanan dalam setiap aspek sektor industri bagi memastikan kelangsungan dan daya tahan dalam pasaran yang semakin kompetitif dan prihatin terhadap alam sekitar.
Menurut MPOB, agenda ekonomi hijau industri sawit Malaysia dan pengurusan strategik industri melalui teknologi terkini serta R&D dijangka mengekalkan momentum bagi tahun 2025. Unjuran bagi tahun 2025 menjangkakan peningkatan dalam jumlah eksport dan hasil, didorong oleh permintaan global yang semakin meningkat terhadap minyak sawit mampan. Perkembangan global terkini, seperti
1
kesan perubahan iklim ke atas negara-negara pengeluar utama minyak sayuran dan gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dijangka terus menyokong permintaan bekalan minyak sawit yang stabil dan mampan.
Perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem yang menjejaskan pengeluar minyak dan lemak di seluruh dunia seperti kemarau di negara-negara pengeluar utama minyak kacang soya serta banjir yang menjejaskan pengeluaran minyak biji sesawi, menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai alternatif yang stabil. Tambahan pula, peperangan yang berlanjutan di negara pengeluar utama minyak bunga matahari telah mencipta kekurangan dalam pasaran.
Komitmen Malaysia terhadap kelestarian dan inovasi melalui inisiatif ekonomi hijau dijangka meningkatkan daya saing minyak sawit untuk memenuhi kekurangan bekalan di peringkat global.
Seminar R&O merupakan acara tahunan MPOB yang menghimpunkan pakar ekonomi, penggiat industri, serta pembuat dasar bagi membincangkan prestasi dan perkembangan sektor sawit yang dijadikan rujukan semua pihak berkepentingan untuk merancang strategi perdagangan serta membentuk polisi berkaitan industri tersebut.
Dalam seminar tersebut, penggiat industri membincangkan kepentingan usaha menangani cabaran industri dalam masa sama menambah baik kemampanan dan ketelusan untuk memastikan kesinambungan industri sawit Malaysia di seluruh rantaian bekalan minyak sawit.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)