Industri sawit Malaysia pacu ekonomi hijau

KUALA LUMPUR, 14 Januari 2025 – Malaysia akan terus memacu kesejahteraan  industri sawit dengan pendekatan ekonomi hijau serta inovasi teknologi terkini dalam  rantaian pengeluaran.  

“Penekanan terhadap inisiatif ekonomi hijau memberi peluang kepada industri kita  untuk memperkukuh usaha kemampanan serta kekal berdaya saing di peringkat  global,” kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi dalam  ucapan beliau di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2025 

(R&O 2025) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). 

Menurutnya, penerapan inisiatif ekonomi hijau bukan sahaja meningkatkan aspek  pemeliharaan alam sekitar, malah turut membuka peluang baharu untuk pertumbuhan  dan kemakmuran ekonomi. 

Prestasi eksport industri mencatatkan jumlah eksport minyak sawit dan produk  berasaskan sawit dari Januari hingga Disember 2024 telah meningkat kepada 26.66  juta tan berbanding 24.49 juta tan pada tempoh yang sama pada tahun 2023. Ini  merupakan peningkatan sebanyak 8.9% dengan perbezaan sebanyak 2.17 juta tan  antara kedua-dua tahun tersebut. 

Dalam pada itu, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata  tema Seminar R&O 2025, ‘Memperkukuh Daya Saing Minyak Sawit melalui Inisiatif  Ekonomi Hijau’ memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan global  industri sawit dengan mengintegrasikan elemen kemampanan dalam setiap aspek  sektor industri bagi memastikan kelangsungan dan daya tahan dalam pasaran yang  semakin kompetitif dan prihatin terhadap alam sekitar.  

Menurut MPOB, agenda ekonomi hijau industri sawit Malaysia dan pengurusan  strategik industri melalui teknologi terkini serta R&D dijangka mengekalkan  momentum bagi tahun 2025. Unjuran bagi tahun 2025 menjangkakan peningkatan  dalam jumlah eksport dan hasil, didorong oleh permintaan global yang semakin  meningkat terhadap minyak sawit mampan. Perkembangan global terkini, seperti 

kesan perubahan iklim ke atas negara-negara pengeluar utama minyak sayuran dan  gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dijangka terus menyokong  permintaan bekalan minyak sawit yang stabil dan mampan. 

Perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem yang menjejaskan pengeluar minyak  dan lemak di seluruh dunia seperti kemarau di negara-negara pengeluar utama  minyak kacang soya serta banjir yang menjejaskan pengeluaran minyak biji sesawi,  menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai alternatif yang stabil. Tambahan pula,  peperangan yang berlanjutan di negara pengeluar utama minyak bunga matahari  telah mencipta kekurangan dalam pasaran. 

Komitmen Malaysia terhadap kelestarian dan inovasi melalui inisiatif ekonomi hijau  dijangka meningkatkan daya saing minyak sawit untuk memenuhi kekurangan  bekalan di peringkat global. 

Seminar R&O merupakan acara tahunan MPOB yang menghimpunkan pakar  ekonomi, penggiat industri, serta pembuat dasar bagi membincangkan prestasi dan  perkembangan sektor sawit yang dijadikan rujukan semua pihak berkepentingan  untuk merancang strategi perdagangan serta membentuk polisi berkaitan industri  tersebut. 

Dalam seminar tersebut, penggiat industri membincangkan kepentingan usaha  menangani cabaran industri dalam masa sama menambah baik kemampanan dan  ketelusan untuk memastikan kesinambungan industri sawit Malaysia di seluruh rantaian bekalan minyak sawit. 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT 
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)