MPOB Pacu Inovasi Mampan Melalui Pengkomersialan Poliol Berasaskan Sawit

PUTRAJAYA, 7 APRIL 2025 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus  memacu inovasi mampan melalui pengkomersialan poliol berasaskan sawit. Usaha  ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada rantaian industri sawit, malah  memperluas penggunaan produk berasaskan sawit dalam pelbagai sektor termasuk  industri kimia, pembinaan, dan automotif, sejajar dengan agenda kelestarian global. 

MPOB dan SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. hari ini memeterai Memorandum  Perjanjian (MOA) bagi pengkomersialan teknologi poliol berasaskan sawit. Kerjasama  strategik ini bertujuan mempercepatkan penggunaan/penerimaan teknologi hijau  tempatan dan memenuhi permintaan global terhadap bahan kimia berasaskan bio  yang mesra alam dan mampan. 

MPOB diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir,  manakala SumiSaujana TCM Chemicals Sdn Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai  Eksekutif, En. Norazlam bin Norbi. Pengkomersialan teknologi ini selari dengan  strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang memberi tumpuan  kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi dan inovatif. 

“Kerjasama ini membuka peluang kepada penggiat industri untuk meneroka potensi  teknologi inovatif MPOB dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kimia yang  lebih mampan serta berdaya saing di peringkat global,” kata Datuk Dr. Ahmad  Parveez.

Hasil penyelidikan MPOB membolehkan pembangunan bahan perantara, poliol  berasaskan sawit, dan bio-poliester poliol untuk pelbagai kegunaan industri. Poliol  berasaskan sawit memainkan peranan penting dalam penghasilan poliuretana yang  digunakan secara meluas dalam industri salutan, pelekat, busa fleksibel dan busa  tegar. Produk berasaskan poliol sawit menawarkan alternatif lestari yang boleh  menggantikan bahan berasaskan petroleum, sekali gus menyumbang kepada  pengurangan jejak karbon. 

Pasaran global bagi bahan kimia berasaskan bio menunjukkan pertumbuhan pesat di mana pasaran bahan perantara dianggarkan bernilai USD17.0 bilion pada tahun  2022, manakala pasaran global poliuretana mencapai USD86.28 bilion pada tahun  2024. Nilai pasaran yang besar ini didorong oleh permintaan tinggi dalam sektor  pembinaan, automotif, dan perabot. 

Kerjasama antara MPOB dan SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. mencerminkan  komitmen kedua-dua pihak dalam memacu inovasi dan penggunaan/penerimaan teknologi hijau di Malaysia. Usaha ini juga menyokong aspirasi Pelan Induk  Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) dalam menjadikan Malaysia sebagai  peneraju global dalam teknologi hijau dan mampan. 

Dengan pengkomersialan poliol berasaskan sawit, MPOB berharap dapat  memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta bagi memacu  transformasi industri ke arah kelestarian global, meningkatkan daya saing Malaysia di  arena antarabangsa, dan memanfaatkan sepenuhnya potensi produk berasaskan  sawit. 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)