MSPO 2022 dan skim penanaman semula sawit tingkat daya saing pekebun kecil
TAWAU, 10 April 2025 – Pensijilan Minyak Sawit Mampan 2022 (MSPO 2022) serta Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) adalah antara inisiatif Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meningkatkan daya saing pekebun kecil melalui kemampanan dan peningkatan produktiviti.
Mulai Januari 2025, MSPO 2022 telah mula berkuat kuasa kepada semua penggiat industri sawit termasuk pekebun kecil di negara ini. Standard kemampanan yang telah dikemas kini membawa penambahbaikan khusus kepada pelbagai pihak berkepentingan di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit Malaysia termasuk pemproses, kilang, peniaga buah tandan segar (BTS) dan minyak sawit, estet serta pekebun kecil sawit.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) juga meneruskan inisiatif galakan penanaman semula sawit dalam kalangan pekebun kecil juga melalui Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang ditawarkan dalam bentuk geran padanan (matching grant) melalui Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank).
Semasa Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit di Tawau, Sabah, Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, “bagi tahun 2024, dana peruntukan sebanyak RM100 juta telah disediakan oleh Kerajaan untuk pelaksanaan Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0 bagi kerja kerja penanaman semula sawit.”
Menurutnya, TSPKS 2.0 dijangka memanfaatkan 1,500 orang pekebun kecil sawit persendirian dan melibatkan seluas 5,900 hektar ladang sawit.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, penganjuran program tersebut bertujuan untuk menyampaikan penerangan serta hebahan maklumat mengenai Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi menyokong kerja-kerja penanaman semula sawit, terutamanya pekebun kecil persendirian di daerah Tawau.
Selain itu, Kerajaan melalui KPK juga melaksanakan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) dengan peruntukan RM2 juta untuk tiga projek di daerah Tawau, yang dijangka memberi akses lebih baik kepada pekebun kecil.
Para pekebun kecil boleh mendapatkan khidmat nasihat penanaman sawit di dua belas buah Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB di negeri Sabah termasuk Pejabat Wilayah Sabah di Kota Kinabalu dan Cawangan-cawangan di Keningau, Kota Marudu, Beaufort, Beluran, Ranau, Tawau, Kinabatangan, Semporna, Telupid serta Stesen Penyelidikan MPOB Sandakan dan Lahad Datu.
Maklumat terperinci serta borang permohonan juga boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang www.mpob.gov.my.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)