Ucapan Alu-aluan

Ybhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir
Ketua Pengarah MPOB

Sempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pengkomersialan Poliol Berasaskan Sawit

7 April 2025 (Isnin)
2.30 Petang
Hotel Marriott, Putrajaya

Bismillahirrahmanirrahim 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh,  

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani 

Yang Berusaha En. Toh Chee Seng 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan SumiSaujana Berhad 

Yang Berusaha En. Norazlam bin Norbi 

Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd.  

Yang Berusaha En. Ramli Mohamad 

Ketua Pegawai Operasi SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd.  Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, 

Para penggiat industri, usahawan, rakan-rakan media 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

Alhamdulillah, pada petang ini, kita dapat bersama-sama hadir pada Majlis  Menandatangani Dokumen Perjanjian Pengkomersialan Poliol Berasaskan Sawit  antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan SumiSaujana TCM Chemicals  Sdn. Bhd. 

  1. Majlis ini merupakan manifestasi kerjasama erat antara agensi kerajaan dan  sektor swasta dalam meningkatkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan inovasi  institusi penyelidikan awam. Bahkan, kolaborasi ini selaras dengan matlamat Pelan  Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang menyokong agenda  pembangunan Malaysia sebagai negara berteraskan kemampanan dan inovasi. 

  2. MPOB komited dalam membangunkan teknologi baharu berasaskan sawit  yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada industri tetapi turut menyokong  agenda global ke arah kelestarian dan pengurangan jejak karbon. Poliol berasaskan  sawit dan bio-poliester poliol menawarkan alternatif lestari yang mampu  menggantikan bahan berasaskan petroleum dalam pelbagai sektor termasuk  kejuruteraan, automotif, dan pembinaan. 

  3. Saya difahamkan bahawa bahan kimia berasaskan sawit termasuk bahan  perantara, poliol dan bio-poliester poliol mempunyai potensi pasaran global yang  besar. Poliol berasaskan sawit memainkan peranan penting dalam penghasilan  poliurethana yang digunakan secara meluas dalam pelbagai industri. Pasaran global  bagi bahan perantara dianggarkan bernilai USD17.0 bilion pada tahun 2022,  manakala pasaran global poliuretana mencapai USD86.28 bilion pada tahun 2024.  Pertumbuhan pasaran yang pesat ini didorong oleh permintaan tinggi dalam sektor  pembinaan, automotif, dan perabot.  

  4. Dengan potensi pasaran yang luas, kerjasama strategik antara MPOB dan  SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. merupakan langkah tepat untuk  memanfaatkan peluang dalam industri kimia global. Inisiatif ini bukan sahaja  mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi hijau di rantau ini,  malah menyumbang kepada usaha menjadikan negara sebagai hab inovasi  berasaskan bio yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

    Hadirin sekalian,
  5. Kerjasama yang terjalin ini juga membuktikan bahawa hasil penyelidikan  MPOB mampu mencipta peluang perniagaan baharu dan menyumbang kepada  pertumbuhan ekonomi negara. Melalui pengenalan teknologi bio yang mesra alam, MPOB berharap untuk menarik lebih ramai usahawan dan syarikat bagi  mengkomersialkan inovasi kami. Antara hasil penyelidikan MPOB dalam bidang  oleokimia yang telah berjaya dikomersialkan termasuklah detergen, minyak  transformer, gris gred makanan, pencuci cecair industri, kosmetik dan sebagainya.
  6. MPOB akan terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang  memberi tumpuan kepada produk bernilai tambah tinggi bagi memastikan industri  sawit Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global. Kami yakin, melalui kolaborasi  seperti ini, kita mampu memberi nilai tambah kepada produk sawit Malaysia, dan  memperluas rantaian industri sawit, selain menyumbang kepada pembangunan  negara yang lebih lestari dan berinovasi.

    Sidang hadirin yang dihormati, 

  7. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada  SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd., rakan kolaborasi kami yang komited dan  sudi berkongsi visi dalam mengkomersialkan dan memasarkan produk teknologi hijau  berasaskan sawit. Terima kasih juga kepada semua pihak khususnya penggiat  industri, penyelidik, dan agensi kerajaan yang telah menjayakan usaha ini. 

  8. Dengan termeterainya perjanjian ini, saya yakin kita berada di landasan yang  tepat untuk menerajui inovasi hijau dan memacu masa depan industri sawit Malaysia  yang lebih mampan dan kompetitif di persada dunia. Saya juga mengambil  kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang  meraikan. 

Sekian, terima kasih.