Ucapan YBhg. Datuk Mohamad Helmy Othman Basha
Pengerusi MPOB
Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MOC) Bagi Kerjasama Strategik
antara
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
dan
FGV Holdings Berhad (FGVHB)
Wisma FGV, Kuala Lumpur 7 Januari 2025
Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Menteri Perladangan dan Komoditi
Yang Berbahagia Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof
Ketua Setiausaha
Kementerian Perladangan dan Komoditi
Yang Berbahagia Tan Sri Rastam Mohd Isa
Pengerusi
FGV Holdings Berhad
Yang Berbahagia Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir
Ketua Pengarah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia
Yang Berusaha Encik Fakhrunniam Othman
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
FGV Holdings Berhad
Pengurusan Tertinggi MPOB dan FGV Holdings Berhad,
Tuan-tuan dan puan-puan,
Assalamualaikum w.b.t., Salam Sejahtera & Salam Malaysia Madani.
- Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya kita dapat berkumpul padahari ini sempena Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MOC) bagi kerjasama strategik antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan FGV Holdings Berhad (FGVHB). Kerjasama yang terjalin melibatkan beberapa inisiatif Kerajaan melalui MPOB yang menjadi nadi kepada komitmen negara ke arah kelestarian penanaman sawit iaitu Pembangunan Portal GeoPALM, Sawit Intelligent Management System (SIMS) danProgram “Kebun Angkat”.
- Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FGV Holdings Berhad (FGVHB) atas sumbangan dan kerjasama yang telah berdekad dalam kemajuan industri sawit negara.
- Kerjasama dua agensi melambangkan satu pencapaian penting dalam usaha kita untuk meningkatkan keupayaan sektor sawit negara, terutamanya dalam aspek pematuhan kepada keperluan standard antarabangsa seperti Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan Pensijilan Minyak Sawit MampanMalaysia (MSPO 2.0). Sehubungan itu, Portal GeoPALM yang dibangunkan oleh MPOB merupakan satu platform yang inovatif, menyediakan ketelusan, keterhubungan data dan pengurusan maklumat geospatial yang lebih cekap dan berkesan selaras keperluan pematuhan EUDR.
- Jalinan kolaborasi strategik antara MPOB dan FGV Holdings Berhad antara lain, akan memberi fokus terhadap ketelusan data dan maklumat pemetaan poligon melalui portal GeoPALM, pematuhan piawaian antarabangsa, peningkatan kecekapan operasi melalui analisis data yang lebih tepat, meningkatkan daya saing pekebun kecil, mengawal risiko pencemaran alam sekitar dan meningkatkan pengeluaran hasil tanaman, sekali gusakan mengukuhkan kedudukan minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa.
Sidang Hadirin Sekalian, - Sebagaimana kita sedia maklum, industri sawit memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi negara. Kemampanan dalam sektor pertanian kini merupakan fokus utama terutamanya dalam industri sawit negara. Pengeluaran minyak sawit Malaysia secara mampan merupakan kekuatan utama yang perlu digembleng semua pihak berkepentingan bagi menangani cabaran perdagangan minyak sawit global. Saya yakin, usaha bersepadu semua penggiat industri sawit pastinya akan menatijahkan industri sawit sebagai role-model industri pertanian dan komoditi yang mampan dipersada antarabangsa.
- Pembangunan portal GeoPALM bukan sahaja sebuah projek yang menggunakan teknologi terkini, tetapi juga simbol iltizam kita untuk mengukuhkan industri sawit Malaysia sebagai sektor yang mampan, berdaya saing dan mesra alam. Melalui integrasi data geospatial, penggiat industri, pekebun kecil, pembuat dasar dan pihak berkepentingan akan dapat mengakses maklumat yang relevan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian kemampanan yang ditetapkan. Ini secara langsung dapat meningkatkan kredibiliti minyak sawit Malaysia di peringkat global.
- Salah satu inisiatif yang memacu transformasi ini adalah pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Seperti semua maklum, pelaksanaan MSPO telah bermula dengan penggubalan piawaian MSPO 2013, yang diwartakan pada 5 September 2013 dan seterusya dilancarkan secara rasmi pada 19 November tahun yang sama. Ini diikuti dengan semakan semula piawaian MSPO yang kini diperkenalkan sebagai MSPO MS 2530:2022 atau dikenali sebagai MSPO 2.0. Piawaian terbaharu ini menekankan amalan mampan yang sejajar dengan landskap pemeliharaan alam sekitar dan sosial pada tahap global.
- Pada permulaannya, MSPO dilaksanakan secara sukarela pada Januari 2015 dan seterusnya secara mandatori bermula 1 Januari 2020. Seperti kita maklum, MSPO 2.0 pula baru sahaja berkuat kuasa secara mandatori bermula pada 1 Januari 2025. Peralihan ini mencerminkan komitmen kita bersama terhadap kemampanan dalam industri sawit negara.
- Bagi memastikan keterangkuman sistem pensijilan serta kawal selia industri sawit melalui aktiviti pelesenan, MPOB telah membangunkan Sawit Intelligent Management System (SIMS) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 8 November 2023 sempena Majlis Perasmian Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023).
Sidang Hadirin Sekalian, - Industri minyak sawit menghadapi pelbagai cabaran, termasuk daripada negara negara barat dan Eropah yang juga merupakan pengeluar minyak sayuran dunia. Persaingan dalam sektor minyak sayuran yang semakin sengit, kekurangan tenaga kerja, harga yang tidak stabil, piawaian dan syarat-syarat perdagangan yang semakin tinggi, kemajuan teknologi dan isu-isu alam sekitar, secara langsung dan tidak langsung memberi tekanan kepada industri sawit Malaysia secara keseluruhannya.
- Dengan kemajuan dan manfaat teknologi terkini, SIMS telah dibangunkan dengan tujuan untuk memenuhi keperluan pematuhan industri dan piawaian yang ditetapkan. Pelaksanaan SIMS bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, memperkemas proses urus niaga dan memenuhi keperluan yang semakin berkembang dalam sektor minyak sawit.
- Walau bagaimanapun, sistem ini hanya dapat berfungsi jika maklumat yang dihantar adalah lengkap, tepat dan benar. Oleh yang demikian, MPOB berharap kesemua syarikat di bawah FGVHB dapat manfaat SIMS dengan keperluan penghantaran maklumat industri selaras dengan perundangan MPOB.
- Saya ingin menzahirkan rasa bangga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kerjasama MPOB dan FGVHB. Semoga usaha ini akan membuka lebih banyak inisiatif strategik yang berimpak besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
- Akhir kata, saya menyeru kepada semua pihak untuk terus memberikan sokongan penuh untuk menjayakan kerjasama yang terjalin bagi memastikan sektor minyak sawit Malaysia terus maju dengan memelihara kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat. Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh