Ucapan Alu-aluan
Ybhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir
Ketua Pengarah MPOB
Sempena
Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian
Pengkomersialan Poliol Berasaskan Sawit
7 April 2025 (Isnin)
2.30 Petang
Hotel Marriott, Putrajaya
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani
Yang Berusaha En. Toh Chee Seng
Pengerusi Eksekutif Kumpulan SumiSaujana Berhad
Yang Berusaha En. Norazlam bin Norbi
Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd.
Yang Berusaha En. Ramli Mohamad
Ketua Pegawai Operasi SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk,
Para penggiat industri, usahawan, rakan-rakan media
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Alhamdulillah, pada petang ini, kita dapat bersama-sama hadir pada Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Pengkomersialan Poliol Berasaskan Sawit antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd.
- Majlis ini merupakan manifestasi kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta dalam meningkatkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan inovasi institusi penyelidikan awam. Bahkan, kolaborasi ini selaras dengan matlamat Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang menyokong agenda pembangunan Malaysia sebagai negara berteraskan kemampanan dan inovasi.
- MPOB komited dalam membangunkan teknologi baharu berasaskan sawit yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada industri tetapi turut menyokong agenda global ke arah kelestarian dan pengurangan jejak karbon. Poliol berasaskan sawit dan bio-poliester poliol menawarkan alternatif lestari yang mampu menggantikan bahan berasaskan petroleum dalam pelbagai sektor termasuk kejuruteraan, automotif, dan pembinaan.
- Saya difahamkan bahawa bahan kimia berasaskan sawit termasuk bahan perantara, poliol dan bio-poliester poliol mempunyai potensi pasaran global yang besar. Poliol berasaskan sawit memainkan peranan penting dalam penghasilan poliurethana yang digunakan secara meluas dalam pelbagai industri. Pasaran global bagi bahan perantara dianggarkan bernilai USD17.0 bilion pada tahun 2022, manakala pasaran global poliuretana mencapai USD86.28 bilion pada tahun 2024. Pertumbuhan pasaran yang pesat ini didorong oleh permintaan tinggi dalam sektor pembinaan, automotif, dan perabot.
- Dengan potensi pasaran yang luas, kerjasama strategik antara MPOB dan SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. merupakan langkah tepat untuk memanfaatkan peluang dalam industri kimia global. Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi hijau di rantau ini, malah menyumbang kepada usaha menjadikan negara sebagai hab inovasi berasaskan bio yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Hadirin sekalian, - Kerjasama yang terjalin ini juga membuktikan bahawa hasil penyelidikan MPOB mampu mencipta peluang perniagaan baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Melalui pengenalan teknologi bio yang mesra alam, MPOB berharap untuk menarik lebih ramai usahawan dan syarikat bagi mengkomersialkan inovasi kami. Antara hasil penyelidikan MPOB dalam bidang oleokimia yang telah berjaya dikomersialkan termasuklah detergen, minyak transformer, gris gred makanan, pencuci cecair industri, kosmetik dan sebagainya.
- MPOB akan terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memberi tumpuan kepada produk bernilai tambah tinggi bagi memastikan industri sawit Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global. Kami yakin, melalui kolaborasi seperti ini, kita mampu memberi nilai tambah kepada produk sawit Malaysia, dan memperluas rantaian industri sawit, selain menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih lestari dan berinovasi.
Sidang hadirin yang dihormati, - Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd., rakan kolaborasi kami yang komited dan sudi berkongsi visi dalam mengkomersialkan dan memasarkan produk teknologi hijau berasaskan sawit. Terima kasih juga kepada semua pihak khususnya penggiat industri, penyelidik, dan agensi kerajaan yang telah menjayakan usaha ini.
- Dengan termeterainya perjanjian ini, saya yakin kita berada di landasan yang tepat untuk menerajui inovasi hijau dan memacu masa depan industri sawit Malaysia yang lebih mampan dan kompetitif di persada dunia. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikan.
Sekian, terima kasih.