MPOB Pacu Inovasi Mampan Melalui Pengkomersialan Poliol Berasaskan Sawit
PUTRAJAYA, 7 APRIL 2025 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus memacu inovasi mampan melalui pengkomersialan poliol berasaskan sawit. Usaha ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada rantaian industri sawit, malah memperluas penggunaan produk berasaskan sawit dalam pelbagai sektor termasuk industri kimia, pembinaan, dan automotif, sejajar dengan agenda kelestarian global.
MPOB dan SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bagi pengkomersialan teknologi poliol berasaskan sawit. Kerjasama strategik ini bertujuan mempercepatkan penggunaan/penerimaan teknologi hijau tempatan dan memenuhi permintaan global terhadap bahan kimia berasaskan bio yang mesra alam dan mampan.
MPOB diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, manakala SumiSaujana TCM Chemicals Sdn Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Norazlam bin Norbi. Pengkomersialan teknologi ini selari dengan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang memberi tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi dan inovatif.
“Kerjasama ini membuka peluang kepada penggiat industri untuk meneroka potensi teknologi inovatif MPOB dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kimia yang lebih mampan serta berdaya saing di peringkat global,” kata Datuk Dr. Ahmad Parveez.
Hasil penyelidikan MPOB membolehkan pembangunan bahan perantara, poliol berasaskan sawit, dan bio-poliester poliol untuk pelbagai kegunaan industri. Poliol berasaskan sawit memainkan peranan penting dalam penghasilan poliuretana yang digunakan secara meluas dalam industri salutan, pelekat, busa fleksibel dan busa tegar. Produk berasaskan poliol sawit menawarkan alternatif lestari yang boleh menggantikan bahan berasaskan petroleum, sekali gus menyumbang kepada pengurangan jejak karbon.
Pasaran global bagi bahan kimia berasaskan bio menunjukkan pertumbuhan pesat di mana pasaran bahan perantara dianggarkan bernilai USD17.0 bilion pada tahun 2022, manakala pasaran global poliuretana mencapai USD86.28 bilion pada tahun 2024. Nilai pasaran yang besar ini didorong oleh permintaan tinggi dalam sektor pembinaan, automotif, dan perabot.
Kerjasama antara MPOB dan SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memacu inovasi dan penggunaan/penerimaan teknologi hijau di Malaysia. Usaha ini juga menyokong aspirasi Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam teknologi hijau dan mampan.
Dengan pengkomersialan poliol berasaskan sawit, MPOB berharap dapat memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta bagi memacu transformasi industri ke arah kelestarian global, meningkatkan daya saing Malaysia di arena antarabangsa, dan memanfaatkan sepenuhnya potensi produk berasaskan sawit.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)